Tragedi kren di Mekah dua jemaah Malaysia yang hilang terkorban

MAKKAH, 21 Sept (Bernama) -- Dua jemaah Malaysia yang hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas, disahkan turut terkorban, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Proses pengecaman jenazah dua jemaah berkenaan - Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah, dilakukan waris dan anggota keluarga mangsa di rumah mayat Muaissem di Mina.

"Pada 10 malam tadi, waktu Arab Saudi (3 pagi tadi waktu Malaysia), pihak berkuasa Arab Saudi telah memaklumkan kepada Tabung Haji berkenaan penemuan dua lagi mayat tragedi kren berkenaan.

"Pihak perubatan TH telah bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk membuat pengecaman dan pengesahan awal, sebelum membawa waris jemaah berkenaan untuk pengesahan," katanya kepada pemberita di sini.

Makluman lengkap berkenaan tempat dan waktu penemuan mayat belum dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.

"Jenazah telah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang masih ada pada jenazah khususnya gelang, lencana dan barangan peribadi mangsa," katanya.

Waris Shahidan iaitu abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim serta Mohamad Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di sini pada Jumaat bagi melakukan ujian padanan DNA dengan jenazah yang terdapat di rumah mayat Muaissem.

Dr Asyraf Wajdi berkata ketika ini pihak TH sedang menumpukan kepada usaha mempercepatkan proses pengurusan pengebumian jenazah bersama pihak Muassasah Asia Tenggara.

Sebelum ini, lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku dan Zainun Taha, 69, berasal dari Ampang, Selangor.

Dalam kejadian 5 petang pada 11 Sept lepas itu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren berkenaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat Asar.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.

BERNAMA
Tragedi kren di Mekah dua jemaah Malaysia yang hilang terkorban

0 comment... add one now