Penjelasan kelebihan malam nisfu syaban

Assalamualaikum. Penjelasan kelebihan malam Nisfu Syaban

Malam Nisfu Syaban (15 Sya'ban) merupakan malam penuh rahmat, maka hendaklah memperbanyakkan ibadah terutama beristigfar dan bertaubat dan menjauhi kemaksiatan.

Pada malam Nisfu Syaban  adalah salah satu malam yang mustajab doa. Umat Islam digalakkan pada malam Nisfu Syaban banyakkan berdoa dan memohon keampunan disisi Allah SWT.


Sayidatina Aisyah r.a. menyatakan, tidak pernah Rasulullah ﷺ berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Sya’ban (selain bulan Ramadhan); Sesungguhnya baginda ﷺ telah berpuasa sebulan penuh. – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Usman bin Zaid menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, Wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain2 bulan seperti di bulan Syaban; lalu Baginda menjawab, itulah bulan (Syaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam.  Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa. (HR Imam Ahmad dan An-Nasai)

Menurut para ulama, pada malam Nisfu Syaban lah para malaikat melaporkan catatan amal umat manusia selama setahun kepada Allah SWT.

Sayidatina Aisyah r.anha menceritakan, Rasulullah ﷺ telah bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta’ala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya’ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb." (HR At-Termizi dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan dari Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a, dari Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: “Apabila datang malam Nisfu Syaban, maka kalian hidupkanlah malamnya dan berpuasa-lah pada pagi harinya. Sesungguhnya Allah SWT pada malam itu turun ke langit dunia lalu menyeru kepada hamba-Nya: “Adapun orang yang memohon keampunanKu pasti akan Aku ampuni dosanya, Adapun orang yang memohon rezeki kepadaKu, pasti Aku akan memberinya rezeki, Adapun orang yang sedang ditimpa musibah, pasti Aku berikannya keselamatan, dan seterusnya dimulai dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar”.

Berkata Imam Asy-Syafie: Terdapat riwayat yang mengatakan Abu Darda’ r.a berkata: Sesungguhnya doa mustajab pada lima (5) malam iaitu; malam Jumaat, malam Idul Fitri, malam Idul Adha, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.

Dari Mu’adz bin Jabal, Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah memandang (dengan pandangan rahmat) kepada seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaban. Maka, Allah mengampuni (dosa-dosa) seluruh makhluk-Nya kecuali yang menyekutukan-Nya atau orang yang dengki atau dendam.” (HR Ath-Thabarani dan Ibnu Hibban).

Apa yang harus dilakukan pada malam Nisfu Syaban?

Disunatkan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan memperbanyakkan ibadah dengan  membaca al-Qur`an, berzikir, berdoa, bertasbih, berselawat, menghadiri majlis ilmu dan amalan ibadah yang lain khususnya:

1. Puasa sunat
2. Perbanyakkan Istighfar
3. Perbanyakkan berdoa dan berzikir.

**Lazimi mengamal Al-Wirdul Latif yang merupakan himpunan wirid yang disusun oleh Al-Imam Al Qutub Abdullah b 'Alawi Al-Hadad Rahimahullah.

Selamat beramal. Nisfu Syaban 15 Sya'ban 1437H jatuh pada Sabtu malam Ahad, 21 Mei 2016.

Nota
Mari sama2 kita rebut dan amalkannya. MasyaAllah banyak sungguh keajaiban yang Allah sediakan untuk kita mohon keampunan dalam bulan Syaban  dan malam nisfu syaban selain Rejab dan Ramadan.